Musafir menonton perlawanan bola sepak?

Thursday, September 17, 2009

 

Adakah bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak dikira musafir yang bertujuan maksiat dan tidak diharuskan solat jamak dan qasar?

Bolasepak dan semua jenis sukan adalah diharuskan di dalam Islam berdasarkan kaedah:

”Asal sesuatu hukum itu adalah harus"

Asal sesuatu hukum itu adalah harus selagi tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya dari batasan keharusan itu, seperti melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak dan dilakukan dengan niat untuk menguatkan badan dan jasad untuk melakukan perkara ketaatan kepada Allah SWT. Jika demikian, maka bermusafir untuk menonton bolasepak adalah diharuskan dan boleh melakukan rukhsah solat, dengan syarat perlawanan bolasepak yang dianjurkan tersebut hendaklah mematuhi hukum syarak, iaitu antaranya:

  • Menjaga waktu solat sewaktu perlawanan berlangsung
  • Mengelakkan berlakunya pertaruhan
  • Menutup aurat ketika bermain
  • Tidak bergaduh sesama sendiri atau dengan pihak lawan atau dengan penyokong pihak lawan


Pendek kata, keharusan solat qasar ketika bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak ini bergantung kepada sejauhmana perlawanan itu mematuhi hukum syarak. Selain itu, keharusan sebegini juga membuka ruang terbaik untuk berdakwah yang akan membawa kepada kesempurnaan peribadi muslim, terutamanya di sudut aurat dan memelihara waktu solat. Sukan-sukan lain telah menampakkan hasilnya seperti hoki dan takraw, terdapat pemain di peringkat kebangsaan yang bermain dengan menutup aurat. Maka adalah tidak wajar ”juara kampung” pula membuka aurat. Islam tidak meghalang aktiviti bersukan dengan syarat ia memelihara batas-batas hukum dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam.

Menurut Dr Yusuf Qardhawi, antara peraturan penting dalam bersukan ialah tidak menimbulkan mudharat yang keterlaluan kepada pemainnya, contohnya seperti dalam acara tinju dan gusti di mana pesertanya boleh membunuh lawannya dengan pukulan mati atau menimbulkan kecacatan yang akan dideritai sepanjang hayat. Jika demikian , ia tidak wajar diadakan dan secara qiasnya bermusafir untuk menonton acara sukan sebegini bukanlah termasuk dalam perkara yang diharuskan oleh syarak.(Hiburan Dan Gurau Senda Menurut Islam, hal 63-64)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

0 comments:

Post a Comment

 
◄Design by Pocket