Berapa lama qosar jika tidak mengetahui bila tugasan siap

Thursday, September 17, 2009

 

Jika ia bermukim pada suatu tempat untuk menyelesaikan sesuatu urusan, tetapi ia tidak tahu bilakah urusannya akan selesai, berapa lamakah ia boleh mengqasarkan solatnya?


Ia tidak boleh mengqasar solatnya jika telah bercadang untuk bermukim selama empat hari atau lebih ( kerana bermukim melebihi tempoh yang diharuskan qasar solat ) sebaliknya ia hendaklah solat tamam. Tetapi berbeza keadaannya jika sekiranya ia menunggu dari hari ke hari untuk menyelesaikan urusannya namun tidak juga selesai, maka dalam mazhab Syafie, dalam keadaan seperti ini ia boleh mengqasar solat selama 18 hari tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat semula. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jil 1, hal 136 / Al-Fiqh Al-Manhaji, jil 1,hal 187)


Sebagai contoh, Ali diarahkan oleh majikannya untuk memperbaiki satu alat elektrik di salah sebuah syarikat cawangannya di Kedah, beliau tidak dapat memastikan berapa lama masa yang diambil untuk kerja-kerja membaik pulih yang akan dilakukannya. Apabila beliau mula melakukan operasi baik pulih maka ianya berlanjutan hari demi hari, ada sahaja kerosakan baru yang ditemui dan beliau telah berada di tempat baik pulih tersebut melebihi 3 hari dan masih lagi tidak dapat memastikan bilakah kerja-kerja itu akan selesai sepenuhnya. Dalam kes ini Ali dibenarkan mengambil keringanan melakukan qasar sehingga 18 hari lamanya. Tetapi jika sekiranya Ali sememangnya telah mengetahui bahawa beliau akan bermukim / berada disitu untuk melakukan operasi dan kerja-kerja baik pulih selama 4 hari atau lebih, maka beliau tidak boleh melakukan qasar .

Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

0 comments:

Post a Comment

 
◄Design by Pocket