Adakah afdhal solat jamak dalam waktu musafir?

Thursday, September 17, 2009

 

Adakah afdhal solat jamak dalam waktu musafir?

  • Solat jamak adalah suatu keringanan, namun jika dibincangkan dari sudut keafdhalannya maka lebih afdhal solat di dalam waktu solat masing-masing. Ini adalah kerana Rasulullah SAW tidak sentiasa melakukan solat jamak ketika musafir, tidak sebagaimana solat qasar di mana baginda tidak pernah meninggalkannya.
  • Para ulama Syafieyyah mengharuskan solat jamak dalam masa musafir tetapi yang lebihafdhal ialah meninggalkan jamak untuk mengelakkan khilaf dengan mazhab Imam Abu Hanifah yang tidak mengharuskan solat jamak kecuali ketika berada di Arafah dan Muzdalifah bagi jemaah haji.
  • Adapun jamak solat ketika berada di Arafah dan Muzdalifah, para ulama sepakat ia adalah lebihafdhal dan sunat hukumnya dari tidak melakukan jamak.(Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil2, hal 1373/Al-Muktamad,jil 1.)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya
hal 477)

Sebab solat jamak disyariatkan

 

Apakah sebab-sebab solat jamak disyariatkan?


Dalam mazhab Syafie, sebab-sebab disyariatkan solat jamak adalah seperti berikut:

  • Hujan lebat, salji dan kesejukan yang bersangatan yang menyukarkan untuk solat di dalam waktunya.
  • Ketika musafir yang mengharuskan qasar solat.
  • Jamak ketika di Arafah (jamak taqdim antara Zohor dan Asar) dan Muzdalifah (jamak ta’khir antara Maghrib dan Isyak) bagi jemaah haji sahaja.  (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,jil2, hal 1388)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Maksud solat jamak

 

Apakah maksud solat jamak, apakah hukum menjamak solat dan apakah solat-solat yang boleh dijamakkan?

  • Solat jamak ialah menghimpunkan dua solat fardhu ke dalam satu waktu.
  • Solat-solat yang boleh dijamakkan ialah antara Zohor dan Asar serta antara Maghrib dan Isyak.
  • Hukum melaksanakan solat jamak adalah seperti berikut:
  1. Para ulama bersepakat bahawa melaksanakan solat jamak takdim antara Zohor dan Asarpada hari Arafah dan jamak tak’hir antara Maghrib dan Isyak ketika berada di Muzdalifah adalah sunat. (Ini adalah khusus untuk mereka yang mengerjakan ibadah haji)
  2. Jumhur ulama (Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah) berpendapat harus melaksanakan
    solat jamak pada keadaan selain dari keadaan di atas (termasuk ketika musafir).(Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 380/Masail Fil Fiqh Al-Muqarin, hal 69)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Berapa lama qosar jika tidak mengetahui bila tugasan siap

 

Jika ia bermukim pada suatu tempat untuk menyelesaikan sesuatu urusan, tetapi ia tidak tahu bilakah urusannya akan selesai, berapa lamakah ia boleh mengqasarkan solatnya?


Ia tidak boleh mengqasar solatnya jika telah bercadang untuk bermukim selama empat hari atau lebih ( kerana bermukim melebihi tempoh yang diharuskan qasar solat ) sebaliknya ia hendaklah solat tamam. Tetapi berbeza keadaannya jika sekiranya ia menunggu dari hari ke hari untuk menyelesaikan urusannya namun tidak juga selesai, maka dalam mazhab Syafie, dalam keadaan seperti ini ia boleh mengqasar solat selama 18 hari tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat semula. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jil 1, hal 136 / Al-Fiqh Al-Manhaji, jil 1,hal 187)


Sebagai contoh, Ali diarahkan oleh majikannya untuk memperbaiki satu alat elektrik di salah sebuah syarikat cawangannya di Kedah, beliau tidak dapat memastikan berapa lama masa yang diambil untuk kerja-kerja membaik pulih yang akan dilakukannya. Apabila beliau mula melakukan operasi baik pulih maka ianya berlanjutan hari demi hari, ada sahaja kerosakan baru yang ditemui dan beliau telah berada di tempat baik pulih tersebut melebihi 3 hari dan masih lagi tidak dapat memastikan bilakah kerja-kerja itu akan selesai sepenuhnya. Dalam kes ini Ali dibenarkan mengambil keringanan melakukan qasar sehingga 18 hari lamanya. Tetapi jika sekiranya Ali sememangnya telah mengetahui bahawa beliau akan bermukim / berada disitu untuk melakukan operasi dan kerja-kerja baik pulih selama 4 hari atau lebih, maka beliau tidak boleh melakukan qasar .

Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Seorang musafir mengikut imam yang solat

 

Jika seorang musafir mengikut imam yang solat tamam biarpun seketika (sempat bersama imam itu hanya seketika, haruskah baginya solat qasar?


Tidak harus baginya qasar sebaliknya ia hendaklah solat sepertimana solat imamnya (iaitub solat tamam) (Al-Muktamad, jil 1, hal 473)

Contohnya seorang musafir yang berhenti disebuah masjid, jemaahnya sedang berada dirakaat yang akhir. Maka si musafir tersebut terus solat bersama jemaah yang mukim dengan berniat qasar. Niat qasarnya lagha ( tidak terpakai / tidak diakui ) dan dia perlu melakukan solat tamam juga kerana dia telah mengikut imam yang tamam walaupun seketika. Jika dia hendak qasar juga dia sewajarnya tidak mengikut imam tersebut. Jika dia tetap juga dengan solat qasar padahal sebelum itu dia mengikut imam yang tamam , maka solatnya tidak sah.

Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Bolehkah orang musafir berimamkan orang?

 

Bolehkah orang musafir berimamkan orang mukim (solat sempurna ) dan orang mukim berimamkan orang musafir?


Orang musafir yang qasar solat tidak boleh mengikut imam mukim yang solat sempurna. Jika mahu ikut juga, musafir tersebut hendaklah solat secara sempurna. Orang mukim yang solat sempurna boleh berimamkan orang musafir yang qasar solat, tetapi hendaklah ditambah dua rakaat selepas memberi salam untuk menyempurnakan baki rakaat solatnya.(Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil 2, hal 1357 / Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 366)

Contoh yang selalu berlaku ialah jika kita bermusafir menggunakan jalan persekutuan,apabila tiba waktu solat Isya’ kita berhenti di masjid untuk solat jamak ta’khir, jemaah di masjid sedang bersolat dan kita terus bersama dengan jemaah tersebut, maka hendaklah kita bersolat Isya’ secara tamam setelah selesai maka terus bangun untuk melakukan solat Maghrib secara jamak ta’khir.

Contoh kedua, kita singgah dalam permusafiran di sebuah masjid untuk melakukan solat jamak ta’khir dan para jemaahnya sedang bersiap sedia untuk melakukan solat Isyak, Imam masjid tersebut menyedari kehadiran kita dan mempelawa kita menjadi imam, maka kita boleh bersolat Isyak secara qasar dan kemudiannya makmum meneruskan baki dua rakaat lagi manakala kita pula bangun untuk melakukan solat Maghrib jamak ta’khir.


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Musafir menonton perlawanan bola sepak?

 

Adakah bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak dikira musafir yang bertujuan maksiat dan tidak diharuskan solat jamak dan qasar?

Bolasepak dan semua jenis sukan adalah diharuskan di dalam Islam berdasarkan kaedah:

”Asal sesuatu hukum itu adalah harus"

Asal sesuatu hukum itu adalah harus selagi tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya dari batasan keharusan itu, seperti melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak dan dilakukan dengan niat untuk menguatkan badan dan jasad untuk melakukan perkara ketaatan kepada Allah SWT. Jika demikian, maka bermusafir untuk menonton bolasepak adalah diharuskan dan boleh melakukan rukhsah solat, dengan syarat perlawanan bolasepak yang dianjurkan tersebut hendaklah mematuhi hukum syarak, iaitu antaranya:

  • Menjaga waktu solat sewaktu perlawanan berlangsung
  • Mengelakkan berlakunya pertaruhan
  • Menutup aurat ketika bermain
  • Tidak bergaduh sesama sendiri atau dengan pihak lawan atau dengan penyokong pihak lawan


Pendek kata, keharusan solat qasar ketika bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak ini bergantung kepada sejauhmana perlawanan itu mematuhi hukum syarak. Selain itu, keharusan sebegini juga membuka ruang terbaik untuk berdakwah yang akan membawa kepada kesempurnaan peribadi muslim, terutamanya di sudut aurat dan memelihara waktu solat. Sukan-sukan lain telah menampakkan hasilnya seperti hoki dan takraw, terdapat pemain di peringkat kebangsaan yang bermain dengan menutup aurat. Maka adalah tidak wajar ”juara kampung” pula membuka aurat. Islam tidak meghalang aktiviti bersukan dengan syarat ia memelihara batas-batas hukum dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam.

Menurut Dr Yusuf Qardhawi, antara peraturan penting dalam bersukan ialah tidak menimbulkan mudharat yang keterlaluan kepada pemainnya, contohnya seperti dalam acara tinju dan gusti di mana pesertanya boleh membunuh lawannya dengan pukulan mati atau menimbulkan kecacatan yang akan dideritai sepanjang hayat. Jika demikian , ia tidak wajar diadakan dan secara qiasnya bermusafir untuk menonton acara sukan sebegini bukanlah termasuk dalam perkara yang diharuskan oleh syarak.(Hiburan Dan Gurau Senda Menurut Islam, hal 63-64)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

 
◄Design by Pocket