Hukum solat jamak kerana menjalani rawatan bagi penyakit kronik di hospital

Thursday, September 17, 2009

 

Apakah hukum solat jamak kerana menjalani rawatan bagi penyakit kronik di hospital?

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (FATWA) Negeri Selangor (2001) telah bersetuju memutuskan bahawa :

  • Harus sembahyang Jamak kerana rawatan yang memakan masa yang lama.
  • Hukum ini juga terpakai untuk pekerja-pekerja yang tidak dapat meninggalkan tugasnya kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti doktor yang bertugas di wad ICU , dan seumpamanya yang terpaksa bertugas tanpa had masa dan lain-lain "dharurat".
  • Keharusan tersebut hanya dikhususkan pada masa berlaku "dharurat" tersebut sahaja , tidak terpakai pada masa sihat atau hari yang tiada rawatan atau ketika tidak bertugas.Keputusan ini adalah berdasarkan kepada hujahhujah seperti berikut :
  1. Mengikut pendapat Mazhab Syafie, harus jamak sembahyang kerana musafir atau dengan sebab hujan secara jamak takdim sahaja, apabila dilakukan sembahyang itu secara berjamaah di masjid yang jauh daripada rumahnya, mengelakkan kesusahan untuk pergi ke sana, aka (berdasarkan keringanan tersebut) harus menjamakkan sembahyang sama ada taqdim atau ta’khir bagi orang yang sakit.
  2. Mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-14 pada 22-23 Oktober 1985 menyatakan bahawa dalam Islam uzur syarie adalah diertikan seperti berikut :-
  • Keuzuran yang diluar kuasa seseorang untuk mengatasinya seperti penyakit kronik, menghadapi hujan , ribut dan taufan
  • Keuzuran yang bersabit dengan keluarga atau saudara yang sakit tenat yang tiada harapan untuk hidup yang perlu diziarahi.
  • Keuzuran berkenaan dengan berkemungkinan berlaku kerosakan bahan perusahaan yang ditinggalkan semasa menunaikan fardhu jumaat.
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-49 pada 19 September 2000 memutuskan bahawa hukum solat jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus. Daripada kesimpulan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah dikira uzur syar’ie yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya. (Keputusan Fatwa Negeri Selangor 2001 / Pedoman Pesakit, hal 137)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Situasi dan syarat-syarat solat jamak kerana hujan

 

Bagaimana situasi dan syarat-syarat solat jamak kerana hujan?

Solat jamak kerana hujan mempunyai syarat-syarat dan tatacara yang tersendiri seperti berikut :

  • Solat jamak kerana hujan hanya boleh dilakukan oleh jamaah yang bersolat di masjid sahaja.Mereka yang bersolat di rumah tidak dibenarkan.
  • Waktu yang dibenarkan jamak ialah jamak taqdim sahaja. Tiada jamak takhir dalam bab jamak kerana hujan.
  • Hujan yang turun samada di waktu Zohor atau Maghrib itu tidak berhenti sehingga jamaah selesai menunaikan solat Zohor ataupun Maghrib.
  • Hujan yang mengharuskan jamak ialah hujan yang membasahkan baju dan bukannya hujan yang renyai – renyai. (Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 275)


Jamak kerana hujan ini amat praktikal bagi mereka yang tinggal di luar negara (negara bukan Islam) yang mana sesebuah masjid adalah agak berjauhan dari tempat kediaman seseorang individu muslim. Mereka pastinya akan berhadapan dengan kesulitan untuk berulang alik ke masjid di waktu salji, angin yang kuat dan juga hujan.


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Adakah harus menjamak solat dalam keadaan selain musafir?

 

Adakah harus menjamak solat dalam keadaan selain musafir?

Ya. Diharuskan menjamak solat kerana keuzurankeuzuran berikut:

  1. Jamak kerana hujan dan lumpur
  2. Jamak kerana sakit dan takut
  3. Jamak kerana hajat dan sebarang kepayahan yang timbul.
    Ini adalah berdasarkan pendapat para ulama antaranya :
  • Imam ‘Atho’, Imam Malik dan Imam Ahmad, Qadhi Husain (bermazhab Syafi’ie), al-Mutawalli (bermazhab Syafi’ie), ar Ruyani(bermazhab Syafi’ie) dan al-Khattabi, mereka berpandangan; “Diharuskan menjamak solat kerana uzur sakit atau kerana keuzurankeuzuran lain yang seumpamanya”.
  • Imam Ibnu Sirin, Ibnu al-Munzir, al-Qaffal(bermazhab Syafi’ie), asy-Syasyi al-Kabir (bermazhab Syafi’ie) dan Ibnu Syabramah, mereka berpendapat; “Harus menjamakkan solat ketika dalam negeri (yakni tanpa bermusafir) jika ada suatu desakan atau keperluan asalkan tidak dijadikan kebiasaan”.
  • Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah menunaikan solat Zohor dan Asar dengan menjamakkan (kedua-duanya) di Madinah, tanpa sebab ketakutan dan juga tanpa sebab musafir” Dalam riwayat lain; “…tanpa sebab ketakutan dan tanpa sebab hujan”. Ibnu ‘Abbas ditanya; “Kenapakah baginda melakukan demikian?”. Beliau menjawab; “Baginda tidak mahu memberatkan umatnya” (Hadis Riwayat Imam
    Muslim). (Pedoman Pesakit, hal 136-139)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Adakah harus solat sunat qobliyyah dan ba’diyyah ketika musafir?

 

Adakah harus solat sunat qobliyyah dan ba’diyyah ketika musafir?

  • Menurut Imam Ibn Taimiyyah, harus solat sunat qobliyyah dan ba’diyyah dalam musafir bagi mereka yang menyukainya dengan sepakat para fuqaha’.
  • Akan tetapi yang afdhal ialah melakukannya sekali sekala sahaja jika perlu, dan meninggalkannya sekali sekala sahaja jika perlu.
  • Rasulullah SAW tidak melakukan solat sunat rawatib dalam musafir kecuali dua rakaat sebelum fajar dan solat sunat witir. Adapun solat sunat sebelum Zohor dan selepasnya atau
    selepas Maghrib, tiada yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukannya ketika dalam musafir. (Al-Fiqh Al-Islami, jil 2, hal 1372)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Perbezaan syarat solat taqdim dan takhir

 

Apakah perbezaan antara syarat-syarat jamak taqdim dan syarat-syarat jamak takhir?

Perbezaannya ialah jamak ta’khir :

  • Tidak disyaratkan tertib (didahulukan solat pertama kemudian diikuti dengan solat kedua). Akan tetapi disunatkan mendahulukan solat pertama dahulu. (Jamak taqdim wajib mendahulukan solat pertama)
  • Tidak disyaratkan muwalat (berturut-turut antara dua solat iaitu tidak diselangi dengan masa yang lama/panjang antara kedua-dua solat, manakala jamak taqdim mesti muwalat, jika
    terputus muwalat solat pertama sah tetapi solat kedua perlu ditunda ke waktu asal dan tidak boleh dijamakkan lagi).
  • Tidak disyaratkan berniat jamak dalam takbiratul ihram solat pertama dan dalam takbiratul ihram solat kedua (tapi kalau diniatkan juga tidak mengapa bahkan lebih baik). Ini adalah kerana niat jamak ta’khir telah dilakukan di dalam waktu solat pertama lagi (sila ambil perhatian, niat jamak ta’khir dipasang dalam waktu solat pertama bukan di dalam solat) (Panduan Solat Musafir, hal 22/Al-Muktamad, jil 1, hal 482)


Nota: Ketiga-tiga syarat di atas tidak disyaratkan dalam solat jamak ta’khir tetapi disunatkan mengikut syarat-syarat tersebut.


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Syarat-syarat sah jamak taqdim

 

Apakah syarat-syarat (syarat-syarat sah) untuk menunaikan solat jamak taqdim?

  • Tertib, iaitu dimulakan dengan solat pertama dan diikuti solat kedua
  • Berniat jamak taqdim, yang afdhalnya ketika takbiratul ihram solat pertama, harus juga diniatkan dipertengahan solat pertama walaupun ketika memberi salam.
  • Berturut-turut antara kedua-dua solat tanpa diselangi dengan jarak masa yang lama antara dua solat. Jika jarak pendek (diketahui melalui uruf/kebiasaan) maka tidak menjejaskan apa-apa.
  • Berterusan berada dalam musafir hingga takbiratul ihram solat kedua (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jil 2, hal 1379/Al-Muktamad, jil 1, hal 482)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Jamak taqdim atau jamak ta’khir?

 

Yang mana lebih afdhal, jamak taqdim atau jamak ta’khir?

  • Jika si musafir sedang dalam perjalanan pada waktu solat pertama dan berhenti pada waktu solat kedua, maka jamak ta’khir lebih afdhal.
  • Jika ia berhenti pada waktu solat pertama dan berjalan pada waktu solat kedua maka jamak taqdim lebih afdhal kerana mengikut sunnah Rasulullah dan lebih selesa kepada si musafir.
  • Rasulullah SAW apabila Baginda turun berehat selepas gelincir matahari, Baginda menjamakkan Rasulullah bila mula bertolak atau berhenti rehat sebelum masuk waktu pertama
    (zohor/maghrib), Baginda akan solat jamak takhir, sekarang kita qasadkan atau sematkan dlm hati nak solat jamak takhir...ok Sebab zohor tak masuk lagi dan kita nak terus jalan dah.. Nak jamak taqdim ker takhir yea ? solat Zohor dan Asar secara jamak taqdim (solat Zohor dan Asar di dalam waktu Zohor) dan apabila Baginda turun sebelum gelincir matahari baginda melakukan solat jamak takhir (solat Zohor dan Asar di dalam waktu Asar). (Mughnil Muhtaj, jil 1 hal 381 / Fiqh Al-Ibadah, hal 273 / Hukum dan Persoalan Solat Jamak dan Qasar,hal 94, Al-Muktamad, jil 1,hal 479)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Adakah afdhal solat jamak dalam waktu musafir?

 

Adakah afdhal solat jamak dalam waktu musafir?

  • Solat jamak adalah suatu keringanan, namun jika dibincangkan dari sudut keafdhalannya maka lebih afdhal solat di dalam waktu solat masing-masing. Ini adalah kerana Rasulullah SAW tidak sentiasa melakukan solat jamak ketika musafir, tidak sebagaimana solat qasar di mana baginda tidak pernah meninggalkannya.
  • Para ulama Syafieyyah mengharuskan solat jamak dalam masa musafir tetapi yang lebihafdhal ialah meninggalkan jamak untuk mengelakkan khilaf dengan mazhab Imam Abu Hanifah yang tidak mengharuskan solat jamak kecuali ketika berada di Arafah dan Muzdalifah bagi jemaah haji.
  • Adapun jamak solat ketika berada di Arafah dan Muzdalifah, para ulama sepakat ia adalah lebihafdhal dan sunat hukumnya dari tidak melakukan jamak.(Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil2, hal 1373/Al-Muktamad,jil 1.)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya
hal 477)

Sebab solat jamak disyariatkan

 

Apakah sebab-sebab solat jamak disyariatkan?


Dalam mazhab Syafie, sebab-sebab disyariatkan solat jamak adalah seperti berikut:

  • Hujan lebat, salji dan kesejukan yang bersangatan yang menyukarkan untuk solat di dalam waktunya.
  • Ketika musafir yang mengharuskan qasar solat.
  • Jamak ketika di Arafah (jamak taqdim antara Zohor dan Asar) dan Muzdalifah (jamak ta’khir antara Maghrib dan Isyak) bagi jemaah haji sahaja.  (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu,jil2, hal 1388)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Maksud solat jamak

 

Apakah maksud solat jamak, apakah hukum menjamak solat dan apakah solat-solat yang boleh dijamakkan?

  • Solat jamak ialah menghimpunkan dua solat fardhu ke dalam satu waktu.
  • Solat-solat yang boleh dijamakkan ialah antara Zohor dan Asar serta antara Maghrib dan Isyak.
  • Hukum melaksanakan solat jamak adalah seperti berikut:
  1. Para ulama bersepakat bahawa melaksanakan solat jamak takdim antara Zohor dan Asarpada hari Arafah dan jamak tak’hir antara Maghrib dan Isyak ketika berada di Muzdalifah adalah sunat. (Ini adalah khusus untuk mereka yang mengerjakan ibadah haji)
  2. Jumhur ulama (Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah) berpendapat harus melaksanakan
    solat jamak pada keadaan selain dari keadaan di atas (termasuk ketika musafir).(Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 380/Masail Fil Fiqh Al-Muqarin, hal 69)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Berapa lama qosar jika tidak mengetahui bila tugasan siap

 

Jika ia bermukim pada suatu tempat untuk menyelesaikan sesuatu urusan, tetapi ia tidak tahu bilakah urusannya akan selesai, berapa lamakah ia boleh mengqasarkan solatnya?


Ia tidak boleh mengqasar solatnya jika telah bercadang untuk bermukim selama empat hari atau lebih ( kerana bermukim melebihi tempoh yang diharuskan qasar solat ) sebaliknya ia hendaklah solat tamam. Tetapi berbeza keadaannya jika sekiranya ia menunggu dari hari ke hari untuk menyelesaikan urusannya namun tidak juga selesai, maka dalam mazhab Syafie, dalam keadaan seperti ini ia boleh mengqasar solat selama 18 hari tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat semula. (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jil 1, hal 136 / Al-Fiqh Al-Manhaji, jil 1,hal 187)


Sebagai contoh, Ali diarahkan oleh majikannya untuk memperbaiki satu alat elektrik di salah sebuah syarikat cawangannya di Kedah, beliau tidak dapat memastikan berapa lama masa yang diambil untuk kerja-kerja membaik pulih yang akan dilakukannya. Apabila beliau mula melakukan operasi baik pulih maka ianya berlanjutan hari demi hari, ada sahaja kerosakan baru yang ditemui dan beliau telah berada di tempat baik pulih tersebut melebihi 3 hari dan masih lagi tidak dapat memastikan bilakah kerja-kerja itu akan selesai sepenuhnya. Dalam kes ini Ali dibenarkan mengambil keringanan melakukan qasar sehingga 18 hari lamanya. Tetapi jika sekiranya Ali sememangnya telah mengetahui bahawa beliau akan bermukim / berada disitu untuk melakukan operasi dan kerja-kerja baik pulih selama 4 hari atau lebih, maka beliau tidak boleh melakukan qasar .

Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Seorang musafir mengikut imam yang solat

 

Jika seorang musafir mengikut imam yang solat tamam biarpun seketika (sempat bersama imam itu hanya seketika, haruskah baginya solat qasar?


Tidak harus baginya qasar sebaliknya ia hendaklah solat sepertimana solat imamnya (iaitub solat tamam) (Al-Muktamad, jil 1, hal 473)

Contohnya seorang musafir yang berhenti disebuah masjid, jemaahnya sedang berada dirakaat yang akhir. Maka si musafir tersebut terus solat bersama jemaah yang mukim dengan berniat qasar. Niat qasarnya lagha ( tidak terpakai / tidak diakui ) dan dia perlu melakukan solat tamam juga kerana dia telah mengikut imam yang tamam walaupun seketika. Jika dia hendak qasar juga dia sewajarnya tidak mengikut imam tersebut. Jika dia tetap juga dengan solat qasar padahal sebelum itu dia mengikut imam yang tamam , maka solatnya tidak sah.

Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Bolehkah orang musafir berimamkan orang?

 

Bolehkah orang musafir berimamkan orang mukim (solat sempurna ) dan orang mukim berimamkan orang musafir?


Orang musafir yang qasar solat tidak boleh mengikut imam mukim yang solat sempurna. Jika mahu ikut juga, musafir tersebut hendaklah solat secara sempurna. Orang mukim yang solat sempurna boleh berimamkan orang musafir yang qasar solat, tetapi hendaklah ditambah dua rakaat selepas memberi salam untuk menyempurnakan baki rakaat solatnya.(Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil 2, hal 1357 / Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 366)

Contoh yang selalu berlaku ialah jika kita bermusafir menggunakan jalan persekutuan,apabila tiba waktu solat Isya’ kita berhenti di masjid untuk solat jamak ta’khir, jemaah di masjid sedang bersolat dan kita terus bersama dengan jemaah tersebut, maka hendaklah kita bersolat Isya’ secara tamam setelah selesai maka terus bangun untuk melakukan solat Maghrib secara jamak ta’khir.

Contoh kedua, kita singgah dalam permusafiran di sebuah masjid untuk melakukan solat jamak ta’khir dan para jemaahnya sedang bersiap sedia untuk melakukan solat Isyak, Imam masjid tersebut menyedari kehadiran kita dan mempelawa kita menjadi imam, maka kita boleh bersolat Isyak secara qasar dan kemudiannya makmum meneruskan baki dua rakaat lagi manakala kita pula bangun untuk melakukan solat Maghrib jamak ta’khir.


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Musafir menonton perlawanan bola sepak?

 

Adakah bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak dikira musafir yang bertujuan maksiat dan tidak diharuskan solat jamak dan qasar?

Bolasepak dan semua jenis sukan adalah diharuskan di dalam Islam berdasarkan kaedah:

”Asal sesuatu hukum itu adalah harus"

Asal sesuatu hukum itu adalah harus selagi tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya dari batasan keharusan itu, seperti melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak dan dilakukan dengan niat untuk menguatkan badan dan jasad untuk melakukan perkara ketaatan kepada Allah SWT. Jika demikian, maka bermusafir untuk menonton bolasepak adalah diharuskan dan boleh melakukan rukhsah solat, dengan syarat perlawanan bolasepak yang dianjurkan tersebut hendaklah mematuhi hukum syarak, iaitu antaranya:

  • Menjaga waktu solat sewaktu perlawanan berlangsung
  • Mengelakkan berlakunya pertaruhan
  • Menutup aurat ketika bermain
  • Tidak bergaduh sesama sendiri atau dengan pihak lawan atau dengan penyokong pihak lawan


Pendek kata, keharusan solat qasar ketika bermusafir untuk menonton perlawanan bolasepak ini bergantung kepada sejauhmana perlawanan itu mematuhi hukum syarak. Selain itu, keharusan sebegini juga membuka ruang terbaik untuk berdakwah yang akan membawa kepada kesempurnaan peribadi muslim, terutamanya di sudut aurat dan memelihara waktu solat. Sukan-sukan lain telah menampakkan hasilnya seperti hoki dan takraw, terdapat pemain di peringkat kebangsaan yang bermain dengan menutup aurat. Maka adalah tidak wajar ”juara kampung” pula membuka aurat. Islam tidak meghalang aktiviti bersukan dengan syarat ia memelihara batas-batas hukum dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam.

Menurut Dr Yusuf Qardhawi, antara peraturan penting dalam bersukan ialah tidak menimbulkan mudharat yang keterlaluan kepada pemainnya, contohnya seperti dalam acara tinju dan gusti di mana pesertanya boleh membunuh lawannya dengan pukulan mati atau menimbulkan kecacatan yang akan dideritai sepanjang hayat. Jika demikian , ia tidak wajar diadakan dan secara qiasnya bermusafir untuk menonton acara sukan sebegini bukanlah termasuk dalam perkara yang diharuskan oleh syarak.(Hiburan Dan Gurau Senda Menurut Islam, hal 63-64)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

contoh-contoh musafir yang tidak jelas arah tujuannya

 

Apakah contoh-contoh musafir yang tidak jelas
arah tujuannya?

  • musafir dengan berjalan menerawang tanpa arah tujuan yang tertentu
  • musafir untuk mencari orang yang berhutang, mencari barang yang dicuri atau hilang dan tidak tahu di mana barang itu berada atau mencari hamba yang lari dari tuannya yang tidak diketahui di mana berada.
  • orang yang mengikuti ketuanya, tentera yang mengikuti kaptennya atau isteri yang mengikuti suaminya yang tidak diketahui arah tujuannya(Al-Muktamad, jil 1, hal 468, Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 364)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

contoh-contoh musafir yang tidak diharuskan syarak

 

Apakah contoh-contoh musafir yang tidak diharuskan syarak/bertujuan maksiat?

  • hamba yang melarikan diri dari tuannya
  • isteri yang nusyuz dan melarikan diri dari suaminya
  • musafir untuk merompak dan menyamun, berzina dan memerangi orang-orang Islam
  • berniaga arak dan barang-barang yang diharamkan (Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 366 / Al-Muktamad, jil 1, hal 460 / Fiqh
    Solat, hal 389)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Contoh-contoh musafir yang diharuskan

 

Apakah contoh-contoh musafir yang diharuskan
syarak?

Musafir yang diharuskan syarak termasuklah:

  1. musafir wajib seperti musafir untuk menunaikan haji
  2. musafir sunat seperti musafir untuk menuntut ilmu
  3. musafir harus seperti untuk berniaga
  4. musafir makruh seperti musafir seorang diri (Al-Muktamad, jil 1, hal 460)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Syarat musafir

 

Apakah syarat-syarat musafir yang diharuskan qasar solat?

  • musafir yang diharuskan syarak iaitu bertujuan baik dan tidak bertujuan maksiat, tidak disyaratkan musafir yang aman dan selamat dari sebarang ancaman keselamatan.
  • jarak perjalanan mestilah dua marhalah (80 –90KM atau lebih), tidak mencukupi syarat musafir jika jaraknya diragui samada mencukupi dua marhalah atau tidak.
  • musafir hendaklah mempunyai arah tujuan tertentu
    (Al-Fiqh Al-Manhaji, jil 1, hal 191/ Al-Muktamad, jil 1, hal 460/Mughnil Muhtaj, jil 1, hal 364))


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Syarat sah solat qasar

 

Apakah syarat-syarat sah solat qasar?

  • perjalanan sejauh 2 marhalah (80 – 90KM atau
    lebih)
  • musafir bukan bertujuan maksiat
  • melepasi sempadan kawasan tempat tinggal
  • musafir dengan tujuan tertentu tidak mengikut imam yang mukim atau imam yang solat sempurna (tidak qasar) atau imam yang disyaki samada ia musafir atau tidak
  • musafir hendaklah berterusan mulai awal solat hingga akhirnya(Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil 2, hal 1368)


Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

Keadaan keharusan solat qasar

 

Apakah keadaan-keadaan yang menyebabkan tiada keharusan solat qasar ketika musafir?

  • berniat untuk menetap di suatu tempat selama empat hari (termasuk malamnya) atau lebih tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak semula.
  • si musafir mengikut imam yang mukim atau mustautin (tinggal menetap di suatu tempat) atau mengikut imam musafir yang berniat mukim (singgah atau tinggal sementara di suatu tempat selama 4 hari ke atas) atau mengikut imam musafir yang solat tamam ( tidak qasar)
  • si musafir meragui status imam yang solat samada ia solat tamam atau qasar ( tetapi jika si musafir solat qasar dengan merasakan zhon kemungkinan si imam melakukan qasar
    kemudiannya ternyata imam solat tamam maka simusafir perlu terus melakukan solat tamam dan niat qasarnya tidak diambil kira)
  • Tidak cukup syarat musafir yang mengharuskan solat qasar (rujuk syarat musafir yang mengharuskan solat qasar yang akan disentuh selepas ini)
  • tidak berniat qasar ketika ihram haji atau umrah(Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil 2, hal 1368 / Fiqh Al-Ibadat bi
    Adillatiha, hal 272)

Sumber: 120 PERSOALAN PRAKTIKAL SOLAT JAMAK DAN QASAR Oleh: Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya

 
◄Design by Pocket